Mendidik Generasi Yang Minat Membaca.
Assalamualaikum w.r.b.t
Memiliki minda yang cerdas dan tajam adalah impian bagi setiap individu. Namun tidak semua manusia diciptakan memiliki kesempurnaan sebegitu rupa. Allah menjadikan manusia dengan berbagai keadaan ini, agar manusia dapat berfikir tentang kejadiannya dan boleh mengaitkannya dengan keagungan dan kebesaran Allah S.W.T. Dengan kemunculan pelbagai gajet yang canggih pada masa kini, hal ini sedikit sebanyak telah menafikan hak pembacaan secara meluas. Perkara ini dapat dilihat apabila generasi muda masa kini kurang menonjolkan minat untuk membaca kerana terlalu sibuk dan asyik dengan gajet yang sentiasa dalam genggaman.
Permasalahan ini tidak seharusnya dibiarkan berleluasa bahkan perlu dibanteras sebaiknya bagi menjamin generasi masa hadapan yang lebih berkualiti. Generasi yang terdidik adalah generasi yang mempunyai ilmu dan daya berfikir yang kritis seiring dengan kefahaman agama yang mendalam. Usaha untuk melahirkan generasi sebegitu rupa hendaklah bermula sejak peringkat awal proses didikan itu sendiri. Lantas setiap peringkat masyarakat perlu memainkan peranan dalam mengawal keadaan dan mencegah permasalahan seperti ini. Antara 2 pihak utama yang bertanggungjawab adalah :
1. IBUBAPA
Benarlah bak kata pepatah “Bagaimana Acuan Begitulah Kuihnya”. Setiap ibubapa perlu menyedari bahawa anak-anak yang dilahirkan kedunia ini merupakan tanggungjawab dan amanah yang paling besar untuk dijaga. Proses didikan anak-anak seharusnya bermula sejak awal usia. Hal ini kerana perkembangan otak kanak-kanak mudah meresap dengan cepat mengenai suatu perkara yang dilakukan oleh ibubapa. Ibubapa seharusnya melazimkan ayat al quran sejak bayi dalam kandungan lagi sehinggalah mereka menginjak dewasa. Wajibkan anak-anak melazimi bacaan al quran setiap hari dan sediakan juga waktu yang khusus sebagai sesi pembacaan bersama dan minta mereka untuk menceritakan semula apa yang telah dibaca dari sudut pandangan mereka sendiri. Pengawalan penggunaan gajet juga seharusnya diberi perhatian. Fahamkan kepada mereka bahawa bahaya penggunaan gajet yang berlebihan dan dalam masa yang sama anjurkan untuk terus memberi galakan untuk melahirkan rasa minat untuk membaca kepada anak-anak.
2. GURU
Peranan guru sebagai ibubapa kedua kepada pelajar adalah sangat digalakkan. Hal ini kerana dalam sehari, masa yang diperuntukkan bersama guru adalah lebih lama berbanding bersama ibubapa mereka sendiri. Bukanlah bermakna guru tersebut perlu memberi perhatian sepenuhnya kepada pelajar sehingga membebankan diri akan tetapi mengawal keadaan pelajar supaya sentiasa terbimbing dan tidak mudah terpengaruh dengan anasir yang kurang baik. Anjurkan juga beberapa aktiviti dan pertandingan bertujuan untuk menggalakkan rasa minat kepada pelajar untuk membaca pelbagai jenis buku. Berikan nasihat dalam suasana kasih sayang namun tegas mengenai kepentingan menimba ilmu melalui pembacaan.
Peranan ibubapa dan guru yang hampir dengan anak-anak ini perlu difahami tanggungjawabnya dengan jelas. Tidak dinafikan sesetengah ibubapa tidak mempunyai ilmu parenting yang sebaiknya dalam mendidik anak-anak namun masih belum terlambat untuk mempelajari dan mengasah skill keibubapaan bagi menjamin kesejahteraan dan kecemerlangan generasi masa akan datang. Para guru juga hakikatnya memperoleh ganjaran pahala yang tidak ternilai seandainya mampu untuk mendidik generasi masa kini dengan sebaiknya seiring dengan tuntutan agama. Tanggungjawab seorang guru tiada gantinya. Dengan pengorbanan guru-guru inilah akan melahirkan insan-insan yang berkemahiran tinggi dan berperibadi mulia serta mampu mebangunkan negara seiring dengan tuntutan semasa dan agama.
Wallahua’lam. :)
Comments
Post a Comment
terima kasih sudi bagi pendapat ^_^